Sunday, July 1, 2012

Program Kemahiran & Keusahawanan Jari Emas bersama MPWK Parlimen Tasek Gelugor


Pada 21 April 2012, dengan kerjasama di bawah program Kemahiran & Keusahawanan Jari Emas, Team Jari Emas telah bekerjasama dengan pihak Majlis Pembangunan Wanita & Keluarga (MPWK) Parlimen Tasek Gelugor telah menganjurkan bengkel Pengurusan Stres melalui Kemahiran Jari Emas di bawah jenama Program Jejari Bestari kelolaan MPWK. Peserta terdiri daripada 20 orang golongan wanita berlatar belakang yang berbeza telah menjalani bengkel kemahiran selama sehari. Selepas tamat kelas kemahiran, peserta juga ditawarkan untuk mengikuti program keusahawanan jika mereka berminat untuk menceburi dalam perniagaan melalui kemahiran yang telah mereka pelajari. Alhamdulillah, seramai 3 orang peserta yang memilih untuk meneruskan program ke tahap keusahawanan iaitu Pn Shuhaini yang merupakan seorang kakitangan KEMAS, Pn Latiffah bt Othman yang merupakan pesara kerajaan yang baru sahaja bersara daripada FAMA dan Pn Halijah bt Ismail yang masih berkhidmat di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Mereka ini sedang dalam proses pembinaan modal insan di samping mempelajari kemahiran membina perniagaan sendiri dengan kemahiran yang telah dipelajari. Ini merupakan Batch pertama yang saya telah pilih untuk dijayakan sehingga mereka boleh memperolehi pendapatan bersih RM 2000 sebulan dengan kemahiran Jari Emas bagi tempoh 3-6 bulan Insyallah. Jika matlamat ini tercapai, maka ia akan dijadikan testimoni kejayaan dan akan dijadikan sebagai garis panduan kepada batch-batch peserta seterusnya yang akan kita latih lagi melalui program kemahiran Jari Emas dengan kerjasama MPWK insyallah.

Program ini telah mendapat liputan di akhbar Utusan Malaysia.



Jejari Bestari Semai Perpaduan

JAHARA Hamid (berdiri tiga dari kanan) bergambar kenangan selepas menutup Program Jejari Bestari di Dewan Nur Parlimen Tasek Gelugor, Teluk Air Tawar, Butterworth, baru-baru ini. 

BUTTERWORTH, 13 Mei - Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Tasek Gelugor terus memainkan peranan memajukan golongan wanita dengan menjalankan pelbagai aktiviti.

Salah satu program yang mendapat sambutan hangat adalah Jejari Bestari.

Baru-baru ini, seramai 25 peserta termasuk bukan Melayu menyertai program dua hari itu yang diadakan di Dewan Nur Parlimen Tasek Gelugor, Teluk Air Tawar, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid berkata, usaha menganjurkan program sedemikian amat dialu-alukan kerana ia berjaya mewujudkan semangat muhibbah dan perpaduan di antara pelbagai kaum.

“Saya amat gembira dengan kehadiran peserta, termasuk empat orang dari kaum India, dan dua orang Cina.”

“Mereka berpeluang mempelajari cara-cara solekan untuk kecantikan serta kesihatan seperti urutan muka bagi menghilangkan stres.”

“Jika ilmu yang diperoleh ini dimanfaatkan sebaik-baiknya, mereka boleh menjadikannya sebagai sumber pendapatan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup program tersebut.

Menurutnya, sebagai seorang wanita, mereka perlu menjaga kesihatan diri dengan baik.

“Apabila anggota badan tidak diurus sempurna, kemungkinan besar mereka terdedah dengan pelbagai penyakit dan ilmu dipelajari ini perlu dipraktikkan tanpa jemu atau bosan,” katanya.

Seorang peserta, Latiffah Othman, 59, dari Taman teluk Air Tawar Indah memberitahu, meskipun sudah berusia, ia tidak menghalangnya untuk mengikuti program berkenaan. “Kita tidak perlu rasa malu untuk menuntut ilmu. Apa yang dipelajari di sini boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga masyarakat,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Tan Ghim Eng, 53, dari Taman Senangan berkata, program sedemikian tidak sepatutnya terbatas kepada kaum tertentu sahaja.”

“Saya berpuas hati dengan program ini kerana tenaga pengajarnya tidak kedekut untuk berkongsi ilmu,” jelasnya.

Manakala, S.Patamavathy, 52, pula menjelaskan, program seumpama itu perlu diadakan lebih kerap kerana ia mampu menyemai semangat perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di sekitar kawasan berkenaan.

Berikut adalah gambar aktiviti sepanjang hari :







Tahniah Kepada Peserta

No comments:

Post a Comment